? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, February 18, 2010

Terima Kasih Kerana...

Masuk sahaja ke bulan ini, saya mula mengumpulkan alamat rakan-rakan.


“Salam & Greetings. Kawan-kawan yang diingati, sila SMS/emailkan alamat. Terima kasih”.

Ayat ringkas yang saya sebarkan melalui SMS, yahoo group, dan melalui kemudahan personal message/email di Facebook. Agak meletihkan sebenarnya kerana saya menghubungi seorang demi seorang, bukan membuat pengumuman secara terbuka.

Pelbagai respon diterima. Ada yang diam seribu bahasa dengan sebab mereka yang tersendiri. Ada yang menjawab dengan alamat semata-mata. Ramai juga yang menghulurkan ucapan tahniah walaupun saya belum nyatakan tujuannya. Secara peribadi, mesej-minta-alamat itu telah membuat persahabatan lama yang hampir-hampir terabai lantaran kesibukan, mula bertaut semula. Sahabat-sahabat lama mula menghubungi, bukan sekadar memberi alamat tetapi bertukar cerita. Saya dihujani pelbagai soalan, dan topik utama adalah si dia.

‘Siapa calonnya?’

‘Orang mana?’

‘Kenal macamana?’

‘Aku kenal ke tak bakal hubby ko?’

Sekali imbas, saya terasa seperti tengah melalui zaman secret admire muda remaja. Saya menjawab setiap soalan di atas dengan ringkas, satu ayat untuk satu soalan.

‘Cerita la lagi maria….cerita la..’ masih belum berpuas hati.

‘Kalau nak kenal, datanglah.’ Itu ayat pancing saya.

Kadang-kadang ramai sahabat yang pernah bersama berkongsi bantal dan pinggan ‘tenggelam’ dalam komitmen yang semakin bertambah. Dipisahkan jarak, masa, dan kesibukan tetapi tetap disatukan dalam doa dan ingatan. Sekali-sekala begini, terasa seronoknya. Saya bahagia bila mengetahui yang hati-hati kami sebenarnya masih bertaut. Saya terasa seolah-olah mereka datang meraikan saya, walaupun tarikhnya belum tiba. Terima kasih semua.

Antara banyak-banyak email dan SMS, ada satu email yang mengusik perasaan saya dengan cara yang berbeza. Seseorang yang pernah menuntut ilmu sebumbung selama lima tahun tetapi tidak pernah berbual, kali ini membalas email ringkas saya dengan panjang lebar. Dengan bahasa yang tersusun dia meluahkan sesuatu yang tidak pernah saya ketahui. Perasaan yang disimpan bukan setahun dua. Malah setelah melangkah ke alam kerjaya, dia mengaku pernah berdiri di hadapan pintu pejabat saya, teragak-agak untuk mengetuk pintu, dan akhirnya dia balik begitu sahaja. Di hujung email dia mengucapkan tahniah, berpesan agar saya menjadi isteri yang solehah dan menyatakan yang lelaki yang bakal memiliki saya itu pastinya bertuah.

Email yang tak disangka-sangka itu membuat saya tergamam. Saya hargai dan berterima kasih atas kejujurannya. Saya anggap ia sebagai sejarah yang baru terbongkar. Bakai membaca diari lama, saya meniti semula kenangan yang tidak pernah saya simpan, berserta segala 'isyarat risikan' yang tidak pernah saya fahami. Mengharukan, namun tidak sekali-kali mengubah hati dan pendirian. Begitulah Allah mengatur kehidupan. Ada hikmahnya bila ada ‘sesuatu’ yang Allah kekal rahsiakan. Yang pasti, apa yang ditakdirkan, dan apa yang kita miliki adalah yang terbaik untuk kita. Perlu disyukuri dan dipelihara.


Saya hadiahkan ziarah kalian kali ini dengan lagu ini. Aku Bukan Untukmu dendangan Rossa. Sekali dengar bagai lagu cinta biasa. Dengarlah lagi dengan teliti kerana ia lagu tentang rasa tawakal, redha pada takdir yang ditentukan, bersama pesanan untuk setia dan memelihara apa yang Allah telah amanahkan untuk kita. Semoga dalam perjalanan kita meniti kehidupan, kita tidak lupa untuk terus melangkah ke hadapan walaupun sekali sekala menoleh ke masa silam. Menoleh untuk belajar dan muhasabah, bukan untuk terperangkap di dalamnya.

0 comments: