? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Friday, February 12, 2010

Semoga Dipermudahkan

Kisah 1

Sudah beberapa hari ‘bertapa’ di makmal dari pagi ke malam. Berbual dan berkawan hanya dengan HPLC. Baru mencari-cari kaedah dan parameter paling sesuai. Tiga hari pertama, sambil mengendalikan paralatan, saya menjalani ‘online consultancy’. Terima kasih khas untuk HPLC-mate saya.

Tahun lepas, ketika saya mula melakukan pembacaan tentang segala perkara berkaitan keadah analisis untuk komponen penting projek mega saya ini, saya memberanikan diri untuk menghubungi seorang Profesor jauh di Timur Tengah untuk bertanyakan beberapa kemusykilan. Berkenalan hanya di layar maya dan hasil tulisan yang diterbitkan. Prof Hassan hingga hari ini masih sudi dan menggalakkan saya berbincang dengan beliau. Keikhlasan beliau terserlah dalam setiap emel yang dikirimkan.

Keep me updated’. Kata-kata itu mengingatkan saya pada insan-insan cemerlang yang saya temui sepanjang melakukan penyelidikan untuk Ijazah Sarjana saya. Puan Ramlah, Kak Efi, Dr. Ho dan Dr. Amran; mereka banyak membantu menyelesaikan masalah-masalah teknikal di luar bidang kepakaran penyelia saya. Mereka sudi meluangkan masa berkongsi ilmu walaupun saya tidak ada kepentingan dalam perkembangan karier mereka. Saya hanya mampu membalas dengan doa. Semoga Allah mempermudahkan semua urusan mereka dunia dan akhirat.

Kisah 2

Pada hari pertama saya sampai ke kampus ini, saya hanya berteman seorang pemandu teksi. Setelah membayar tambang, saya mengangkat dua buah beg pakaian dan empat buah kotak seorang diri. Mereka yang lalu lalang hanya sekadar melihat sahaja, sibuk dengan urusan sendiri.

‘Akak bilik mana? Biar saya tolong’, kedengaran suara menyapa mesra.

Kami berkenalan dan saya tidak menolak pertolongannya. Maklum saja, hari tersebut saya memulakan perjalanan seawal selepas subuh, transit 2 jam di KLIA, kemudian menyambung semula perjalanan ke sini dan tiba tepat pada masa azan Asar berkumandang. Saya memang terlalu keletihan dan memerlukan bantuan.

Dia memperkenalkan diri sebagai Falah. Dia menerangkan serba sedikit perkara yang perlu saya tahu; bagaimana untuk ke bandar terdekat, di mana saya boleh mendapatkan barang keperluan asas dan sebagainya. Sejak hari itu, kami akan bertukar senyum dan saling menyapa apabila bertemu. Jika ada kesempatan, kami akan saling bertukar cerita. Setiap kali memandangnya, hati saya berdetik ‘Baik budak ni. Ya Allah, mudahkanlah semua urusan Falah, dunia dan akhirat’.

Thanks Falah. Falah orang pertama yang jadi kawan akak kat sini, dan Falah satu-satunya orang yang tolong akak masa akak mula-mula sampai dulu. Minta maaf banyak-banyak ye, kalau akak ada buat apa-apa yang tak kena,’ itu yang saya ucapkan ketika mendakapnya beberapa bulan lepas. Pada masa itu, saya menemuinya ketika dia ingin balik bercuti panjang sebelum mendaftar untuk pengajian Sarjana.

Siapa sangka, pagi semalam, gadis ceria yang ringan tulang dan mudah tersenyum itu telah pergi selama-lamanya. Saya tergamam ketika mendengar berita buruk itu. Baru dua hari lepas kami bertegur sapa dan dia masih dengan watak yang ceria. Sungguh, daripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali. Melihat keadaan tempat kejadian, dengan kasut yang tertanggal dan helmet yang terbelah sudah cukup meruntun hati sesiapa sahaja. Semoga dia syahid dalam perjalanan menuntut ilmu. Saya akan sentiasa mengenangnya. Ya Allah, mudahkanlah urusan Falah di sana.

0 comments: