? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, February 18, 2010

Terima Kasih Kerana...

Masuk sahaja ke bulan ini, saya mula mengumpulkan alamat rakan-rakan.


“Salam & Greetings. Kawan-kawan yang diingati, sila SMS/emailkan alamat. Terima kasih”.

Ayat ringkas yang saya sebarkan melalui SMS, yahoo group, dan melalui kemudahan personal message/email di Facebook. Agak meletihkan sebenarnya kerana saya menghubungi seorang demi seorang, bukan membuat pengumuman secara terbuka.

Pelbagai respon diterima. Ada yang diam seribu bahasa dengan sebab mereka yang tersendiri. Ada yang menjawab dengan alamat semata-mata. Ramai juga yang menghulurkan ucapan tahniah walaupun saya belum nyatakan tujuannya. Secara peribadi, mesej-minta-alamat itu telah membuat persahabatan lama yang hampir-hampir terabai lantaran kesibukan, mula bertaut semula. Sahabat-sahabat lama mula menghubungi, bukan sekadar memberi alamat tetapi bertukar cerita. Saya dihujani pelbagai soalan, dan topik utama adalah si dia.

‘Siapa calonnya?’

‘Orang mana?’

‘Kenal macamana?’

‘Aku kenal ke tak bakal hubby ko?’

Sekali imbas, saya terasa seperti tengah melalui zaman secret admire muda remaja. Saya menjawab setiap soalan di atas dengan ringkas, satu ayat untuk satu soalan.

‘Cerita la lagi maria….cerita la..’ masih belum berpuas hati.

‘Kalau nak kenal, datanglah.’ Itu ayat pancing saya.

Kadang-kadang ramai sahabat yang pernah bersama berkongsi bantal dan pinggan ‘tenggelam’ dalam komitmen yang semakin bertambah. Dipisahkan jarak, masa, dan kesibukan tetapi tetap disatukan dalam doa dan ingatan. Sekali-sekala begini, terasa seronoknya. Saya bahagia bila mengetahui yang hati-hati kami sebenarnya masih bertaut. Saya terasa seolah-olah mereka datang meraikan saya, walaupun tarikhnya belum tiba. Terima kasih semua.

Antara banyak-banyak email dan SMS, ada satu email yang mengusik perasaan saya dengan cara yang berbeza. Seseorang yang pernah menuntut ilmu sebumbung selama lima tahun tetapi tidak pernah berbual, kali ini membalas email ringkas saya dengan panjang lebar. Dengan bahasa yang tersusun dia meluahkan sesuatu yang tidak pernah saya ketahui. Perasaan yang disimpan bukan setahun dua. Malah setelah melangkah ke alam kerjaya, dia mengaku pernah berdiri di hadapan pintu pejabat saya, teragak-agak untuk mengetuk pintu, dan akhirnya dia balik begitu sahaja. Di hujung email dia mengucapkan tahniah, berpesan agar saya menjadi isteri yang solehah dan menyatakan yang lelaki yang bakal memiliki saya itu pastinya bertuah.

Email yang tak disangka-sangka itu membuat saya tergamam. Saya hargai dan berterima kasih atas kejujurannya. Saya anggap ia sebagai sejarah yang baru terbongkar. Bakai membaca diari lama, saya meniti semula kenangan yang tidak pernah saya simpan, berserta segala 'isyarat risikan' yang tidak pernah saya fahami. Mengharukan, namun tidak sekali-kali mengubah hati dan pendirian. Begitulah Allah mengatur kehidupan. Ada hikmahnya bila ada ‘sesuatu’ yang Allah kekal rahsiakan. Yang pasti, apa yang ditakdirkan, dan apa yang kita miliki adalah yang terbaik untuk kita. Perlu disyukuri dan dipelihara.


Saya hadiahkan ziarah kalian kali ini dengan lagu ini. Aku Bukan Untukmu dendangan Rossa. Sekali dengar bagai lagu cinta biasa. Dengarlah lagi dengan teliti kerana ia lagu tentang rasa tawakal, redha pada takdir yang ditentukan, bersama pesanan untuk setia dan memelihara apa yang Allah telah amanahkan untuk kita. Semoga dalam perjalanan kita meniti kehidupan, kita tidak lupa untuk terus melangkah ke hadapan walaupun sekali sekala menoleh ke masa silam. Menoleh untuk belajar dan muhasabah, bukan untuk terperangkap di dalamnya.

Friday, February 12, 2010

Semoga Dipermudahkan

Kisah 1

Sudah beberapa hari ‘bertapa’ di makmal dari pagi ke malam. Berbual dan berkawan hanya dengan HPLC. Baru mencari-cari kaedah dan parameter paling sesuai. Tiga hari pertama, sambil mengendalikan paralatan, saya menjalani ‘online consultancy’. Terima kasih khas untuk HPLC-mate saya.

Tahun lepas, ketika saya mula melakukan pembacaan tentang segala perkara berkaitan keadah analisis untuk komponen penting projek mega saya ini, saya memberanikan diri untuk menghubungi seorang Profesor jauh di Timur Tengah untuk bertanyakan beberapa kemusykilan. Berkenalan hanya di layar maya dan hasil tulisan yang diterbitkan. Prof Hassan hingga hari ini masih sudi dan menggalakkan saya berbincang dengan beliau. Keikhlasan beliau terserlah dalam setiap emel yang dikirimkan.

Keep me updated’. Kata-kata itu mengingatkan saya pada insan-insan cemerlang yang saya temui sepanjang melakukan penyelidikan untuk Ijazah Sarjana saya. Puan Ramlah, Kak Efi, Dr. Ho dan Dr. Amran; mereka banyak membantu menyelesaikan masalah-masalah teknikal di luar bidang kepakaran penyelia saya. Mereka sudi meluangkan masa berkongsi ilmu walaupun saya tidak ada kepentingan dalam perkembangan karier mereka. Saya hanya mampu membalas dengan doa. Semoga Allah mempermudahkan semua urusan mereka dunia dan akhirat.

Kisah 2

Pada hari pertama saya sampai ke kampus ini, saya hanya berteman seorang pemandu teksi. Setelah membayar tambang, saya mengangkat dua buah beg pakaian dan empat buah kotak seorang diri. Mereka yang lalu lalang hanya sekadar melihat sahaja, sibuk dengan urusan sendiri.

‘Akak bilik mana? Biar saya tolong’, kedengaran suara menyapa mesra.

Kami berkenalan dan saya tidak menolak pertolongannya. Maklum saja, hari tersebut saya memulakan perjalanan seawal selepas subuh, transit 2 jam di KLIA, kemudian menyambung semula perjalanan ke sini dan tiba tepat pada masa azan Asar berkumandang. Saya memang terlalu keletihan dan memerlukan bantuan.

Dia memperkenalkan diri sebagai Falah. Dia menerangkan serba sedikit perkara yang perlu saya tahu; bagaimana untuk ke bandar terdekat, di mana saya boleh mendapatkan barang keperluan asas dan sebagainya. Sejak hari itu, kami akan bertukar senyum dan saling menyapa apabila bertemu. Jika ada kesempatan, kami akan saling bertukar cerita. Setiap kali memandangnya, hati saya berdetik ‘Baik budak ni. Ya Allah, mudahkanlah semua urusan Falah, dunia dan akhirat’.

Thanks Falah. Falah orang pertama yang jadi kawan akak kat sini, dan Falah satu-satunya orang yang tolong akak masa akak mula-mula sampai dulu. Minta maaf banyak-banyak ye, kalau akak ada buat apa-apa yang tak kena,’ itu yang saya ucapkan ketika mendakapnya beberapa bulan lepas. Pada masa itu, saya menemuinya ketika dia ingin balik bercuti panjang sebelum mendaftar untuk pengajian Sarjana.

Siapa sangka, pagi semalam, gadis ceria yang ringan tulang dan mudah tersenyum itu telah pergi selama-lamanya. Saya tergamam ketika mendengar berita buruk itu. Baru dua hari lepas kami bertegur sapa dan dia masih dengan watak yang ceria. Sungguh, daripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali. Melihat keadaan tempat kejadian, dengan kasut yang tertanggal dan helmet yang terbelah sudah cukup meruntun hati sesiapa sahaja. Semoga dia syahid dalam perjalanan menuntut ilmu. Saya akan sentiasa mengenangnya. Ya Allah, mudahkanlah urusan Falah di sana.

Tuesday, February 2, 2010

Kenangan

Sementara menanti giliran untuk menggunakan peralatan makmal, saya mengambil kesempatan ‘menziarahi’ Facebook. Ada tag album dari sahabat lama yang diberi tajuk ‘Sebelum kita jadi setua ini’. Saya tersenyum dan tergelak sendiri menatap satu persatu wajah yang dirakam 13 tahun lalu. Sesekali bergenang airmata mengenangkan ada antara pemilik wajah itu kini telah meninggalkan kita semua. Arwah Faizal, Maryam, Joery dan Jonathan, yang pernah sama-sama jatuh bangun satu ketika dahulu sudah tentu tersemat dalam ingatan.

Sedar tak sedar, dalam perjalanan kehidupan, kita sentiasa bertemu dengan pelbagai jenis kawan dan sahabat. Datang dan pergi, pergi kemudian berganti, namun tak kurang yang datang dan terus menemani. Ada yang jauh, tak kurang juga yang dekat. Ada yang jauh tetapi terasa sangat dekat, ada yang kelihatan rapat namun hakikatnya hati terpisah jauh. Ada juga yang hanya sempat bersua beberapa ketika, namun berjaya meninggalkan kesan mendalam yang mengubah kehidupan kita. Begitulah perjalanan sebuah persahabatan.

Bila berbicara tentang persahabatan, saya terkenang seseorang. Beberapa minggu lepas dia menyapa memperkenalkan diri. Saya agak terewat membalas SMS tetapi perkenalan tetap diterima dengan hati yang terbuka. Daripada perkenalan serba sederhana, kami menjadi ‘sahabat pena’; berbalas SMS, berbalas email, chatting, berbual telefon, malah bertukar gambar. Belum pernah bersua, namun tidak lekang idea untuk berkongsi cerita dan rasa hati. Dalam perkenalan singkat, dia telah menjadi ‘peti simpanan rahsia’ untuk koleksi cerita yang hanya dikongsi dengan sesetengah sahabat. Kami juga ada senarai vocabulary yang tidak akan difahami sesiapa. Si cantik manis ini sedang menghitung detik menuju hari bahagia. Debaran itu saya kongsi bersamanya. Semoga semuanya dipermudahkan.

Entri serba ringkas kali ini saya hadiahkan untuknya, sempena genap sebulan perkenalan. Kali ini mungkin tidak ada lawak jenaka spontan yang boleh membuatnya tertawa. Namun jauh disudut hati saya berdoa, agar kehadiran saya dalam hidupnya memberi kesan dan kebaikan yang significant. Semoga dia dilimpahi rahmat dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Amin.