Saya sengaja meletakkan ucapan ini sedikit awal. Bukan tidak sabar meninggalkan Ramadhan yang penuh rahmat dan keampunan. Tetapi sekadar mengambil sedikit kesempatan yang terluang sebelum balik ke kampung halaman lusa.
Gembira dan teruja, bagai mahu memutarkan jam. Hadiah untuk Ayahanda, Bonda dan Nenek telah saya asingkan, bimbang tertinggal. Seperti kebiasaan, senarai ‘askar-askar wataniah nenek' yang masih layak menerima duit raya juga telah saya siapkan. Senyuman dan tawa riang mereka adalah salah satu elemen utama kemeriahan hari raya saya.
Aidilfitri Pertama
Saya menyambut Aidilfitri yang pertama pada usia tujuh tahun. Saya memakai baju kurung berwarna biru langit, bercorak bunga-bunga kecil. Itu adalah baju kurung saya yang kedua. Yang pertama berwarna kelabu tanpa corak, dipasangkan dengan kain bercorak kotak-kotak yang saya sarungkan pada Aidiladha tahun sebelumnya.
Tahun itu adalah tahun yang istimewa bagi saya. Pertama kali saya berasa seperti salah seorang watak dalam drama-drama melayu. Saya teruja menggayakan baju kurung. Kebetulan Ayahanda meminjam kamera untuk merakamkan detik-detik itu. Sehingga sekarang saya masih tersenyum sendiri ketika menatap aksi-aksi saya yang pelbagai, sehingga aksi mengambil wuduk pun saya minta Ayahanda rakamkan.
Seiring dengan kedewasaan, kini ketika menatap lagi foto lama itu, saya memanjatkan syukur yang tidak terhingga. Itu adalah permulaan besar bagi kami sekeluarga. Menerima cahaya hidayah yang tak terbeli oleh sesiapa tanpa izinNya. Hijrah akidah, hijrah terbesar yang pernah kami lakukan.
Bila terkenang Aidilfitri yang pertama itu, saya tertunduk. Nikmat manakah yang hendak saya dustakan? Terima kasih Ya Allah, kerana memilih kami. Semoga hati kami teguh di atas agamaMu.
Salam Kemaafan
Dalam kesempatan ini, saya ingin memohon ampun untuk semua yang pernah dan sering berziarah ke sini. Ampunkan kesilapan dalam kata-kata dan penulisan saya. Buat sahabat yang saya kenali secara peribadi, mohon ampun dan maaf atas segala kesalahan dan kekurangan saya selama ini.
Semoga di hujung Ramadhan tahun ini kita beroleh piala taqwa. Semoga Aidilfitri tahun ini lebih bermakna. Salam kemaafan, salam Aidilfitri dari saya buat semua.
0 comments:
Post a Comment