Dua Puluh Tahun Lepas
Saya terpinga-pinga melihat Ayahanda berada di luar kelas saya. Cikgu Khadijah, guru kelas Tahun 2 meminta saya mengemas beg kerana Ayahanda tengah menunggu untuk menjemput saya balik.
“ Kita ke rumah nenek suyad, Igak sakit”, kata-kata Ayahanda menjawab soalan yang belum sempat saya kemukakan. Nenek Suyad adalah gelaran kami untuk nenek sebelah Bonda, Suyad itu mewakili nama kampung. Igak adalah adik bongsu Bonda. Ayah saudara saya yang dari kecil saya panggil Igak.
Sampai di halaman rumah nenek, saya melihat ramai saudara-mara dan jiran tetangga nenek membanjiri rumah.
“Igak mati?” hati saya bertanya tetapi saya pendamkan.
“Haa, itu pun dia sampai.” saya terdengar satu suara. Sayakah yang dipanggil ‘dia’?
Ayahanda memimpin tangan saya masuk ke dalam rumah. Saya sedikit terkejut melihat ruang tamu dipenuhi saudara mara.
“Mana nenek suyad? Mana auntie Jee? Mana Igak? Mana bonda? “ hati saya bertanya lagi. Saya terpinga-pinga.
“Cepat masuk bilik, nak” nenek saudara saya menyambut di muka pintu. Saya bergegas masuk. Mereka yang membanjiri ruang tamu beranjak sedikit, memberi laluan untuk tubuh kecil saya.
Sejurus masuk ke dalam bilik yang pintunya memang sedia terbuka luas, langkah saya terhenti. Bonda mendapatkan saya, lalu membawa saya mendekati Igak yang terbaring lemah.
“Igak, ni Anie datang”, nenek bersuara. Igak tidak menjawab. Matanya terpejam.
“Panggil Igak, pegang tangan Igak”, Bonda mengarahkan. Saya akur.
“Igak…” saya menyebut namanya.
Tangan kiri saya menggenggam tangannya sambil tangan kanan saya terketar-ketar cuba menyentuh dan mengusap wajahnya. Panas, sangat panas. Igak demam. Saya tahu dia demam, bonda telah memaklum saya sebelum saya ke sekolah.
Sedang saya mengusap dan menatap wajahnya yang jelas menahan kesakitan, tangan yang menjadi tempat saya berpaut dalam gurau senda kami sebelumnya itu terkulai dari genggaman saya. Serentak dengan itu bunyi tangisan memenuhi ruang bilik. Nenek memanggil nama Igak, Bonda memanggil Igak, semua memanggil nama Igak. Saya menangis kebingungan sehinggalah saya dibawa keluar oleh Auntie Na.
Semalam, Allah Memanggilnya Pulang
“Doktor minta keluarga bersedia, bila-bila masa dia boleh pergi” bunyi SMS adik saya, jam lima pagi tadi.
Igak koma sejak semalam. Dia dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit kepala dan muntah-muntah. Selepas semalaman di hospital, dia koma. Doktor memaklumkan ada darah beku di kepala. Mungkin ada kecederaan yang sebelum ini dia tidak pernah ambil kisah.
Mengingatkan dia yang terlantar, saya terkenang kisah lama di atas. Saya tidak akan lupa yang dia pernah meminta saya untuk berada di sisinya pada ketika dia merasakan maut itu hampir tiba. Saya bersyukur,kali ini anak-anaknya ada menemani.
“Insyaallah, kalau bukan ajal..nanti dia sembuh” saya cuba meyakinkan hati. Saya pernah melihat dia nazak sehingga ditangisi, kemudian sembuh dan terus sihat lagi selama bertahun-tahun sehinggalah semalam, perkara sama berulang lagi. Saya masih cuba menyedapkan hati.
“Igak dah tiada” bunyi ringkas SMS adik saya yang mirip wajah Igak itu menamatkan segala perkara yang saya ramalkan. Saya tidak pernah meminta perkara itu untuk berlaku, tetapi dalam diam-diam saya telah bersedia untuk menghadapinya. Semalaman dia bertarung maut, semalaman juga saya terkenangkan dia tanpa melelapkan mata.
Ayahanda menyusuli dengan panggilan telefon. Setelah berbincang, saya membuat keputusan untuk tidak bersama mereka menemani Igak buat kali terakhir. Bukan tidak sudi, tetapi banyak kekangan lain. Biarlah, mungkin Allah mahu saya menyimpan wajahnya yang ceria dan bukan wajah yang mengundang airmata.
Hari ini saya habiskan sepenuhnya dengan bersendirian. Saya bungkam. Terasa sepi dan kosong. Saya cuba sibukkan diri tetapi sesekali kenangan masa kecil bersamanya datang bertandang. Saya membesar di depan matanya. Remaja dan dewasa saya jauh terpisah daripadanya, tetapi saya tetap menghargai dan menyayanginya. Sungguh terkilan hati saya kerana saya tidak mampu memanjangkan ingatan dengan sedekah Al-Fatihah dan doa, kerana akidah kami berbeza.
Sesekali saya terbayang, saya datang dan semua orang memberi laluan untuk saya bersimpuh di sebelah tubuh kakunya. Sesekali saya terfikir, andai kali ini saya sentuh tangan dan wajahnya seperti dua puluh tahun lepas, adakah ia terasa hangat, panas atau sejuk? Adakah tangan itu masih membalas genggaman saya ataupun ia terkulai, kaku tanpa reaksi? Adakah wajahnya menahan sakit, sambil bibirnya berusaha menyebut nama saya ataupun ia hanya kaku dan pucat tanpa warna? Saya membiarkan soalan itu tanpa jawapan.
Dalam sekelip mata, Igak telah pergi jauh, dipisahkan oleh alam berbeza. Perpindahan yang sangat drastik, tanpa pesan mahupun amaran. Itulah hakikat kehidupan, dihujungnya pasti ada kematian. Bila, di mana, apa sebabnya; tak siapa yang boleh menjawab setepat-tepatnya. Pesan saya untuk diri saya yang masih diberi kesempatan bernafas, hargailah hari ini. Optimumkan setiap saat yang dipinjamkan. Peliharalah hubunganmu dengan yang Maha Pencipta. Peliharalah hubunganmu sesama hamba. Bersedialah sentiasa kerana satu hari nanti, suka atau tidak, bersedia atau tidak, dirimu juga akan berpindah ke sana.
0 comments:
Post a Comment