? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, July 23, 2009

Serasi Bersama

Beberapa tahun lalu, saya dan seorang lagi sahabat gigih mencari seorang lagi kawan untuk dijadikan teman serumah. Pada masa itu pihak pengurusan kolej memberikan syarat minimum tiga orang bagi menduduki sebuah rumah teres dua tingkat, tempat kami berkelana selama tiga bulan sementara menantikan pembaikan asrama selesai. Kami hanya berdua, rumah sebelah ada lima orang semuanya dan seorang pun tidak mahu dipisahkan. Jika kami gagal mendapatkan seorang lagi, maka kami akan dipindahkan ke rumah tersebut dan seterusnya menggagalkan usaha kami untuk mendapatkan bilik seorang satu.

Tengahari itu, ketika saya sedang khusyuk melayari internet, tiba-tiba telefon berdering. Nama bakal teman serumah saya itu tertera. Saya cepat-cepat menjawab sambil berharap tidak ada berita buruk dari pihak pengurusan kolej.

“Marr, aku dapat housemate, baru mau buat master, SPE. Kau OK kan?” suaranya kedengaran ceria di hujung talian.

No problem, yang penting cukup bertiga. Ok la tu..” aku menjawab.

Petang itu saya diperkenalkan dengan teman serumah yang menjadi ‘penyelamat’ kami. Setelah bertukar cerita, rupa-rupanya kami juga adalah ‘penyelamat’ baginya kerana dia memang sangat memerlukan tempat tinggal ketika itu. Saling melengkapi, kata hati kecil saya. Siapa sangka, pada perkenalan yang ala-ala-tak-peramah itulah sebuah persahabatan bermula. Sejak hari itu tempat tinggal kami tidak pernah berpisah, sehinggalah dia mendirikan rumahtangga.

Sepanjang usia perkenalan kami, dia adalah….


Teman bersembang dan kawan bergaduh

Dia memanggil saya kakak. Saya pula jarang-jarang memandang saya sebagai adik. Dalam banyak perkara saya menganggap dia sebagai kawan sebaya, malah ada masa dia bertindak seperti seorang kakak. Bersama dengannya saya menjadi peramah, boleh bercerita dan bersembang tentang pelbagai topik, bermula dari perkara ilmiah sehinggalah perkara yang tidak berfaedah. Dia juga teman bergaduh saya. Selalunya bukan bergaduh mulut, tetapi cubit. Tanyalah dia tahap kepakaran saya dalam mencubit, dia pasti boleh menjawab dengan persis lagi jitu.


Teman berbelanja

Kami mempunyai nilaian yang sama tentang konsep mahal dan murah. Kami juga mempunyai rating yang sama tentang tempat berbelanja. Selera memilih pakaian juga lebih kurang sama. Paling penting, dia satu-satunya kawan yang sanggup memenuhi syarat saya iaitu tiba di tempat membeli belah seawal kedai dibuka. Itu yang paling saya senangi. Satu lagi, dia adalah ‘peta bergerak’ saya sekaligus melengkapi kelemahan saya yang sangat kurang sense of direction.

Pengkritik tetap yang senada

Kami gemar menonton dan mendengar lagu bersama, bermula dari klip video yang diulang-ulang sehingga bosan sampailah kepada filem-filem produk tempatan dan antarabangsa. Selalunya kami ‘terkedu’ atau ‘terdiam’ pada babak yang sama. Kadang-kadang kerana takjub, tetapi selalunya kerana tidak dapat menerima babak tersebut. Yang pastinya pada akhir setiap tayangan, akan ada sessi mengkritik yang mengambil masa 5 minit sehingga setengah jam dan adakalanya ulasan filem kami itu akan diulang-ulang lagi pada hari, minggu, bulan atau tahun berikutnya bergantung kepada ‘potensi’ filem tersebut. Ya, kami pengkritik tetap yang sekepala.

Testimonial

Sedar tak sedar kami mula menggunakan pelbagai barangan yang sama, terutamanya keperluan wanita. Selalunya dia menjadi testimonial untuk meyakinkan saya tentang sesuatu produk atau perkhidmatan. Hanya beberapa kali sahaja rasanya saya yang dijadikan testimonial. Salah satunya tentang produk untuk melebatkan, memanjangkan dan menghitamkan rambut. Saya mencadangkan pati santan kelapa kepadanya dan meminta dia membeli kepala parut dimana-mana kedai. Dia memang kembali dengan kelapa parut, tetapi kelapa parut segera yang biasanya saya gunakan untuk membuat cookies kelapa menjelang hari raya. Terbahak-bahak saya dibuatnya. Itu yang dinamakan sindrom pra-perkahwinan.

Penyelamat

Seperti yang saya katakan awal-awal tadi, ada masanya dia bertindak seperti kakak saya. Dia adalah orang pertama yang saya akan cari sebagai ‘talian hayat’. Dia selalu menjadi penyelamat saya, bermula dari hal sekecil melintas jalan sehinggalah untuk mengelak daripada menjadi ‘mangsa’ kawan-kawan lain dan orang sekeliling. Dia pernah menerima ayat ‘kau layan aku macam kucing’ kerana menyelamatkan saya. Namun begitu, kami juga pernah sama-sama hampir tidak dapat diselamatkan ketika mempercayai kata-kata promoter yang ingin menghadiahkan saya set periuk canggih bernilai RM2500 tanpa sebarang kos. Dan kami juga sama-sama tidak terselamat dari penipuan seorang lelaki yang menyamar sebagai pelajar malang dan meminta wang untuk menyelesaikan urusannya pada hari tersebut. Sungguh malang lelaki itu kerana mendapat ‘doa’ dari orang yang teraniaya.

BrWQsgdtRtmvbxcDp

Ini bukan kesilapan menaip. Saya sengaja membiarkannya begitu. Tajuk yang diwakili oleh gabungan huruf yang tidak dapat dibunyikan sebagai perkataan itu terlalu bermakna untuk saya, tetapi terlalu rahsia untuk kami berdua. Biarlah hanya kami yang tahu. Saya yakin dia boleh meneka.

Kisah Tandas, Kipas dan Penyapu

Selain ayahanda saya, dia merupakan antara orang yang suka membersihkan penyapu dan kipas. Itu antara perkara yang paling saya tidak minati dalam bab pembersihan. Saya lebih cenderung kepada tandas, maksud saya tandas sendiri. Ketika kami tinggal bersebelahan dan berkongsi tandas (yang selalunya dikongsi juga oleh kawan-kawan searas). Mungkin dia tidak menyedari yang saya suka menyental tandas kali itu dengan sabun pencuci pakaian d*namo. Dinding dan lantainya saya berus dan sental dua atau tiga kali seminggu. Ketika menyental tandas yang adakalanya nanti bergenang air lantaran tersumbat dengan rambut, jauh di dalam hati saya mengharapkan dia juga mempunyai minat yang sama. Saya tidak pernah menganggap membersihkan penyapu dan kipas itu penting, sehinggalah dia berpindah dan saya terpaksa melakukannya sendiri. Diam-diam, saya mahu dia datang dan melakukannya untuk saya. Pada ketika itulah saya terfikir, dalam perbezaan yang kita kadang-kadang tak perasan itulah yang membuat kita saling melengkapi. Setiap apa yang ada pada seseorang adalah kelebihan yang Allah kurniakan, walaupun kita terlepas pandang. Itulah yang dinamakan variasi, kepelbagaian yang menjadikan kehidupan ini indah. Menulis entri ini membuat saya sedar bahawa kami serasi bersama bukan hanya kerana persamaan, tetapi pada perbezaan yang kami terima dan raikan seadanya.


Selamat Hari Lahir

Selamat Hari Lahir saya ucapkan khas dan teristimewa untuk sahabat saya ini. Apa yang saya coretkan di atas tentang dirinya hanya sekelumit dari keistimewaan dia dia dihati saya. Semoga usianya dipanjangkan dalam keberkatan. Semoga tercapai segala apa yang diimpikan. Semoga beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Bunga di bawah ini saya hadiahkan untuknya, kata-kata itu saya gubah buat dirinya.


2 comments:

white flamingo said...

hehe... thanks kakak.. ada satu lagi crite kakak lupa nak tulis. dulu kite pernah melamar kakak, tapi kena reject. hahahahaha...

yang maintain ayu ;) said...

melamar jadi ape..kakak ko ke? ahaks!! ko tau jawapan standard aku kan?