? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Saturday, July 11, 2009

Kembara Ilmu di Universiti Kehidupan

Terlalu lama rasanya ruang terapi minda saya ini tidak saya kunjungi. Bukan terlupa, tetapi hambatan tugas sejak kebelakangan ini mengekang saya daripada menulis. Semoga selepas ini tidak terabai lagi.

Bulan ini, genap sepuluh bulan kembara saya dalam meneroka bidang yang diamanahkan untuk saya kuasai, agar menyumbang kepada perkembangan ilmu dalam organisasi saya itu kelak. Bergelumang dengan ratusan kertas kerja, memerhati dengan kritis hasil kajian terdahulu, sambil merangka langkah seterusnya telah menjadi rutin. Itu semua ilmu yang terzahir, yang dapat dinilai dengan deria dan akal. Namun dalam kembara ini saya mula menyedari bahawa ilmu itu datang dengan cara yang pelbagai. Adakalanya terbentang luas di hadapan sehingga tak cukup deria merakam. Adakalanya tersembunyi, hanya boleh difahami dengan akal dan hati. Mungkin yang kedua inilah yang dikatakan ilmu yang tersirat. Selalunya ia datang dari pengalaman biasa yang kita lalui sehari-hari.

"Dah sebulan buat lab, satu apa pun aku tak dapat", bunyi keluhan seorang sahabat seperjuangan yang hampir sepanjang hari ‘bertapa’ di dalam makmal tetapi masih belum berjaya mendapatkan apa-apa data yang berguna.

"Aku pun sama, apa pun tak dapat", hati saya menjawab. Namun cepat-cepat saya usir kata-kata itu dari mengganggu.

"Ada, ada yang kita dapat, cuma tak nampak..." akhirnya itu yang terkeluar dari bibir. Saya mengatakannya bukan hanya untuk dia, tetapi khas untuk saya sendiri.

Kalau bukan diri sendiri, siapa agaknya yang boleh melihat pengajaran disebalik setiap percubaan, tindakan, keputusan malah kesilapan kita dalam usaha kita untuk mencapai sesuatu yang boleh dizahirkan? Seseorang yang telah berjaya menghasilkan adunan kek yang sempurna rupa, tesktur dan rasa pasti melalui banyak percubaan sebelumnya. Mungkin percubaan pertama hanya layak dibuang, percubaan kedua boleh ditelan, percubaan ketiga boleh dihidangkan dan seterusnya boleh dibanggakan. Sebelum berjaya menghidangkan kek yang sempurna, secara zahirnya mungkin dia boleh mengatakan ‘dia belum mendapat apa-apa’. Tetapi jika dia meneliti, pada setiap usaha yang belum berhasil itu dia sebenarnya sentiasa menerima ilmu baru; punca kek tak kembang, punca kek tak sekata dan sebagainya sehingga satu masa nanti gabungan ilmu itu akan membantunya untuk menghasilkan adunan yang lebih sempurna. Jika diteliti lebih dalam lagi, disebalik semua itu dia juga akan belajar tentang sabar, tabah, rajin, tak berputus asa dan segala sifat positif yang aplikasinya bukan sahaja dalam menghasilkan sebiji kek tetapi dalam segenap kehidupan.

Sepertimana kisah kek tadi, begitulah juga dunia penyelidikan. Ilmu itu bukan sahaja dikutip dari kejayaan demi kejayaan serta penemuan demi penemuan yang membawa kepada penghasilkan kajian yang layak diberi pengiktirafan, tetapi pada setiap langkah dan ikhtiar yang terhalang dalam menuju ke arahnya. Percayalah, tidak ada istilah ‘tak dapat apa-apa’. Seremeh kesilapan memasukkan data atau kecuaian membiarkan fail tanpa back-up itu juga satu ilmu, pengajaran yang boleh dijadikan panduan dan peringatan malah boleh juga diperturunkan. Pendek kata, dalam setiap perkara yang berlaku setiap hari, kita sentiasa mendapat sesuatu. Hanya terpulang pada kita bagaimana untuk memandang setiap hari yang berlalu sebagai hari yang bukan kosong dari sebarang ‘kejayaan’.

Benarlah, kembara PhD ini bukan sahaja membawa saya untuk mendalami apa yang tertulis dalam borang kemasukan sebagai bidang kajian. Lebih daripada itu, ia mengajar saya untuk memahami hakikat kehidupan yang sentiasa ada susah dan senang. Ya, kemudahan dan kepayahan itu memang dua perkara yang bertentangan, namun dalam kedua-duanya sentiasa ada ilmu yang berharga. Mungkin ini yang dinamakan kembara ilmu di universiti kehidupan. Kuliahnya adalah pengalaman dan penilaiannya adalah muhasabah. Semoga langkah ini sentiasa dalam pimpinanNya.

0 comments: