Minggu lepas saya menyertai sebuah program tahunan fakulti yang tujuannya adalah untuk membina interaksi antara semua warga, kali ini melalui sukaneka. Saya memang agak liat pada mulanya, terasa mahu memenuhi hujung minggu itu dengan berehat sepenuhnya. Namun pada saat akhir saya menghadirkan diri dengan niat untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan yang terlibat dalam merancang acara.
Dipendekkan cerita, kehadiran pasukan ijazah tinggi pada hari itu memang agak mengecewakan penganjur. Bayangkan sahaja, saya yang tidak merancang untuk menyertai sebarang acara pada mulanya, tanpa pilihan menjadi ‘atlit tetap’. Kami dari pasukan ijazah tinggi wanita yang hanya 10 orang menyertai setiap acara, kerana semua permainan yang dianjurkan memerlukan 10 orang dalam satu kumpulan dari setiap pasukan.
Acara terakhir hari itu adalah jamuan makan tengahari yang diakhiri dengan penyampaian hadiah. Kami sekumpulan duduk semeja. Masing-masing sudah selesa bergurau senda, sedangkan sebelum itu kami hanya sempat bertukar senyuman walaupun menuntut ilmu dari gedung yang sama. Barangkali itulah hikmahnya kerja berpasukan.
Menjelang penyampaian hadiah, kami meneka-neka apa agaknya acara yang kami menangi. Maklum sahaja, kami bermain hari itu niatnya untuk menceriakan program. Walaupun bertarung bersungguh-sungguh tetapi kalah menang itu bukan yang utama. Namun, setiapkali nama pasukan kami disebut sebagai pemenang biarpun hanya ditempat ketiga, kami sambut dengan gembira. Rupa-rupanya kami mendapat tempat dalam tiga daripada lima acara. Tahniah pasukan wanita ijazah tinggi!
“Not bad kan? Kalau team lain, lain game lain pesertanya. Team kita, semua games orang yang sama. Kita tak sempat rehat. Tenaga tak fresh macam team lain. Tapi kita menang nombor 3, nombor 2, nombor 1”, komen seorang ahli pasukan.
“Kalau team lelaki pun banyak menang, mesti kita boleh menang keseluruhan”, saya menambah.
“Takpe, kita kan banyak constraint. Tapi still dapat tempat. Kita pemenang sebenar!”, dia menambah lagi. Kami sebulat suara mengiyakan.
Pemenang Sebenar
‘Kita pemenang sebenar’, ayat ringkas itu membuat saya berfikir. Hakim yang terbaik untuk menilai kemenangan atau kejayaan dalam setiap apa yang kita lakukan, tak lain tak bukan adalah diri sendiri. Kita yang lebih kenal potensi diri, kita yang lebih maklum tentang constraint dan kelemahan kita, kita yang paling tahu sejujur-jujurnya kesungguhan kita dalam mencapai sesuatu. Maka dengan itu, kita yang paling layak untuk menilai setakat mana kita berjaya dalam sesebuah usaha. Orang lain tetap akan menjadi penilai, tetapi ‘markah akhir’ untuk penilaian tersebut bergantung kepada empunya diri. Seperti sukaneka tadi, kami yang lebih tahu tentang keupayaan dan kekurangan kami, kami tahu yang kami jujur mematuhi syarat setiap acara walaupun kami boleh memilih untuk sekali-sekala menipu. Maka dengan itu, walaupun hanya diistiharkan sebagai pemenang tempat ke-4 secara keseluruhan, kami tetap menganggap kami juara sebenar. Sama juga, andaikata kami menipu pada setiap kesempatan yang ada dan kami menang, kemudian diisytiharkan sebagai juara, pasti hakikatnya kami tahu yang kami tidak sepatutnya menang. Tapi pilihan untuk berpura-pura puas hati dengan ‘kemenangan buatan’ itu tetap ada. Semua itu terpulang kepada satu syarat, berfikir dan jujur terhadap diri sendiri. Tepuk dada dan tanya hati, itu sahaja.
Hari itu saya memandu pulang dengan hati yang ceria. Ceria kerana mendapat banyak hadiah yang comel-comel belaka, ceria kerana kami ‘pemenang sebenar’ dan ceria kerana dalam acara yang hanya biasa-biasa itu saya belajar sesuatu yang berharga.
0 comments:
Post a Comment