‘Andai ada 100 orang yang mendapat straight A’s, saya adalah salah seorang daripadanya.
Andai ada 10 orang sahaja yang mendapat straight A’s, saya masih salah seorang daripadanya.
Andai ada seorang sahaja yang mendapat straight A’s, sayalah orangnya’
Andai ada 10 orang sahaja yang mendapat straight A’s, saya masih salah seorang daripadanya.
Andai ada seorang sahaja yang mendapat straight A’s, sayalah orangnya’
Siapa boleh dapat Straight A's?
Ini antara berpuluh-puluh kata hikmat dan motivasi yang guru-guru kami sajikan setiap hari untuk kami. Kami diyakinkan bahawa kami pandai, kami boleh dan kami cemerlang. Lima tahun menuntut ilmu di sini adalah satu kem motivasi untuk saya.
Semangat guru-guru kami luar biasa. Impian mereka sangat jelas, inginkan kami cemerlang. Ketika guru-guru lain mungkin boleh membuat tuisyen berbayar, mereka melakukannya penuh rela untuk kami. Tak cukup 24 jam, Cikgu H mencuri masa selepas subuh untuk slot beliau. Saya tersenyum sendiri bila mengenangkan beliau berdiri bercekak pinggang menunggu kami yang masih mamai melayan rasa mengantuk.
Setiap kali motivator yang dijemput memperkenalkan dan mecadangkan kaedah belajar berkesan untuk kami, guru-guru kami akan pastikan ia jadi amalan kami. Peta minda, study group, solat jemaah 5 waktu, wajib bertudung, wajib baca mathurat, kursus demi kursus…sebutlah apa sahaja…sehingga amalan makan malam sebelum maghrib dan makan buah sebelum makan nasi pun kami amalkan.
Bila difikirkan sekarang, mereka manusia biasa yang punya watak, prioriti dan cara mendidik yang berbeza-beza. Kepelbagaian itulah yang menjadikan hidup kami lengkap dan sempurna. Kalau kami ponteng sembahyang jemaah, ada yang menyerbu. Kalau ada yang ponteng solat jumaat, ada yang merotan. Kalau kami berat kaki bersenam, ada yang mewajibkan. Bila kami berkelakuan nakal, ada yang menegur dan menghukum. Bila kami memberontak, ada yang menyejukkan. Bila kami perlukan kawan, ada yang boleh diajak bergurau. Pendek kata setiap satu antara mereka ada ‘kepakaran’ tersendiri.
Sayangnya mereka pada kami, sehingga pada tahap kenakalan maksimum kami, mereka tetap menerima ucapan maaf yang kami lafazkan dalam tangisan tatkala kami mencium tangan dan memeluk mereka satu persatu..sessi wajib menjelang Hari Raya dan sebelum peperiksaan besar. Pada hari peperiksaan, mereka akan bersama-sama menemankan gementar dan mengaminkan doa yang kami baca beramai-ramai setiap kali sebelum memasuki dewan. Memandang wajah mereka ketika itu yang penuh harapan, seolah-olah memandang wajah ibubapa sendiri.
Tetapi yang ingin saya katakan disini bukan hanya pada apa yang kami terima, tetapi pada kekuatan mereka dalam mendidik dan melentur kami, yang bukan darah daging mereka. Dari mana agaknya datang kekuatan seumpama itu? Mendidik anak-anak remaja yang sentiasa rasa dirinya betul itu bukan mudah. Memulakan sesuatu bukan senang. Membuat perubahan juga terlalu banyak cabaran. Kami memberontak, satu demi satu kerenah sengaja ditunjuk dan dibesar-besarkan…tetapi satu persatu juga mereka lenturkan dengan kasih sayang. Apa agaknya rahsianya? Jika saya yang ditanya, saya akan jawab guru-guru kami itu mendidik dengan hati yang tulus dan ikhlas…keihlasan yang tidak perlu mereka ucapkan tetapi tergambar dalam setiap tindakan.
Untuk Hari Guru tahun ini, sengaja saya tuliskan dedikasi ini ekslusif untuk mereka…kerana banyak yang ada pada saya hari ini bermula dari didikan yang mereka berikan. Bukan hanya pada sijil-sijil yang saya perolehi, malah peribadi, dan cara saya berfikir. Terima kasih istimewa untuk Cikgu Norlida Yaakob kerana membetulkan sembahyang saya…Ustazah Azizah, Ustaz Wan Bukhari, Ustaz Abdul Basyid, Ustazah Nadia yang membetulkan bacaan Al-Quran saya, Madam Nuvnaidah yang memaksa saya untuk solat berjemaah 5 waktu, Cikgu Hamisan yang sentiasa mengatakan saya pandai dan saya boleh walaupun markah fizik saya hanya separuh, Cikgu Hulaimi yang mampu menjadikan markah matematik tambahan saya lebih baik dari markah matematik moden saya, Madam Yang dan Ms Aniza yang meyakinkan bahawa latihan karangan boleh membantu saya untuk memperbaiki Bahasa Inggeris saya, Cikgu Hamisah yang sentiasa meraikan kami anak-anak mentee beliau, Cikgu Fatimah Setapa yang meyakinkan saya bahawa saya boleh bercakap dengan baik dan lancar dikhalayak ramai, juga untuk semua warga pendidik SBPS sessi 1992-1997 yang tidak mampu saya sebutkan satu persatu. Semoga Allah membalas setiap titik ilmu yang mereka berikan dengan kebaikan yang berganda-ganda.
Jika pada hari ini ada satu saat untuk saya kembali ke masa lalu…saya ingin sekali mengulang detik bersalaman sesama warga sekolah. Ingin melafazkan kata maaf dan terima kasih kepada guru-guru saya..dan mahu mendengar mereka mengatakan ‘cikgu maafkan dan halalkan ilmu..cikgu yakin kamu boleh dapat A’ tatkala tangan digenggam dan mata bertentang mata.
Tidak dilupakan, terima kasih juga untuk warga pendidik SK Tambulian dan para ahli akademik FKKKKSA UTM, SKTM UMS dan PPKK USM. Selamat Hari Guru untuk semua guru diluar sana. Ikhlaskan hati dalam mendidik kerana hasilnya amat luarbiasa.
0 comments:
Post a Comment