Malam ini malam Jumaat. Lazimnya saya membaca Surah Yassin, berdoa khas untuk mereka yang telah meninggalkan kita. Seperti biasa, saya sebut nama mereka satu persatu disamping mendoakan secara umum untuk semua umat Islam.
Sejak beberapa minggu lepas, nama yang saya sebut didalam doa bertambah lagi. Maknanya, telah pergi seorang lagi insan yang saya kenali dan ingati.
Selesai membaca Surah Yassin, saya merenung jauh. Siapakah selepas ini? Mereka yang saya sebut namanya itu, ada antaranya yang pemergiannya tidak disangka-sangka. Andaikata saya tidak menyebut nama mereka didalam doa, mungkin saya boleh terlupa yang saya dan mereka telah dipisahkan oleh alam yang berbeza. Ada antaranya yang sebaya malah lebih muda daripada saya, pernah sama-sama membina cita-cita satu masa dahulu. Ketika itu, saya membayangkan yang kami akan dewasa bersama-sama. Siapa sangka, Allah telebih dahulu memanggil mereka. Benarlah, tua dan sakit itu bukan syarat wajib untuk mati.
Saya merenung lagi. Adakah selepas ini giliran saya? Ya Allah, sesungguhnya hambaMu ini belum bersedia….
Semoga bila pun akan berlakunya perpisahan jasad dan nyawa..kita diberi kesudahan yang sebaik-baiknya, mati dalam Iman, mati dalam Islam, mati dalam keredhaan Allah. Ameen.
Benarlah, mati itu peringatan paling baik.
0 comments:
Post a Comment