Kisah 1
Pelajar saya tengah menjawab kertas soalan Business Mathematics. Saya telah ingatkan mereka agar jangan meniru kerana saya memang cukup tak berkenan dengan pelajar yang meniru. Bagi saya ia sangat tidak adil. Dari 20 minit pertama, mata saya memerhati dua orang kawan baik, saya namakan Siti dan Tipah. Mereka berbisik, sambil mata mereka melihat ke arah saya. Mereka tak tau, orang yang Allah lantik sebagai guru selalunya dikurniakan ‘built-in CCTV’.
Amaran pertama: saya pandang mereka
Mereka hanya tersengih.
Amaran kedua: saya berjalan ke arah mereka dan berdiri tepat di antara ruang yang memisahkan meja mereka.
Mereka berlakon khusyuk menulis. Bila saya kembali ke meja saya, tak sampai 10 minit mereka berbisik-bisik lagi.
Amaran ketiga :
“Siti, ada apa-apa masalah? Tipah, ada apa-apa yang tak faham? Kalau ada tanya saya” saya bertanya.
“Takde Miss. Takde apa-apa” mereka menjawab hampir serentak.
Tak sampai beberapa minit, mereka berbisik-bisik lagi.
Kali itu..
“ Aku dah kata jangan meniru, korang meniru depan-depan aku….” Saya berkata dalam hati sambil menahan geram.
Bagi saya, pelajar yang menentang arahan dengan selamba dihadapan seorang guru, samalah seperti mereka mengatakan ‘saya tak takut kat cikgu’.
“ Kalau betul kamu meniru, rasalah kamu tak boleh jawab final exam nanti..” saya mengugut dalam hati.
Masa berlalu. Sebulan selepas itu, pada suatu malam, ketika saya menanda kertas jawapan peperiksaan akhir mereka….saya menjumpai satu skrip jawapan yang hampir ditinggalkan kosong.
“ Ish, siapa lah budak bertuah ni..” saya mengeluh sambil melihat senarai pelajar untuk merujuk empunya student ID yang tertulis di muka hadapan kertas jawapan.
Saya beristigfar panjang. Ia kepunyaan Siti.
Tanpa berlengah saya mencari skrip jawapan Tipah. Saya beristigfar lagi.
Kali ini, sesal saya bukan pada mereka lagi, tetapi diri sendiri…kerana saya pernah ‘menyumpah’ mereka, saya lupa memaafkan mereka, saya marahkan mereka tetapi lupa mendoakan mereka dan saya membiarkan mereka bertempur di medan peperiksaan tanpa ‘restu’ saya.
Kisah 2
“ Miss, We have no idea what’s wrong, it shouldn’t be like this” kata Kok Ling.
“ Miss, I couldn’t sleep, I keep thinking on design design design” Sharmila menambah. Saya boleh melihat kebenaran kata-katanya dari wajahnya yang kurang bertenaga berbanding selalu.
Asri, Tracy dan Jhony hanya diam. Mereka berlima adalah sekumpulan ‘jurutera’ dibawah seliaan saya yang sedang merangka pembinaan sebuah loji metanol bagi projek Plant Design.
Saya tahu bagaimana penangan Plant Design. Kadang-kadang lebih menekan berbanding Projek Tahun Akhir. Satu-satunya kursus yang akan membuatkan pelajar Kejuruteraan Kimia berjaga malam lebih daripada biasa. Persediaan mereka untuk menghadapi alam pekerjaan nanti.
“OK, let me see…” saya menjawab. Helaian kertas bertukar tangan.
Seperti biasa mereka akan menerangkan dengan jelas apa masalah yang sedang mereka hadapi. Kumpulan itu memang belum pernah menyusahkan saya. Maksud saya, menyusahkan dari segi attitude. Saya hanya perlu mencadangkan sesuatu, dan mereka akan mengusahakan sendiri untuk melakukannya. Dimata saya, mereka pelajar yang bersungguh-sungguh dan komited. Setiap dua minggu, kami adakan mesyuarat untuk mendengar progress daripada bakal-bakal jurutera itu. Sebesar mana pun masalah teknikal yang mereka hadapi, saya sentiasa berlapang dada.
Hari tu perbincangan kami lebih lama daripada biasa, walaupun mesyuarat baru sahaja diadakan selang beberapa hari. Memang betul seperti yang mereka katakan, hasil pengiraan sangat tidak masuk akal. Saya mencadangkan beberapa perkara yang saya sendiri tidak pasti akan membantu atau tidak. Mereka akur untuk mencuba dan membuat temujanji untuk berbincang lagi keesokan harinya andaikata masalah tersebut belum dapat diatasi.
Atas dasar kasih sayang, malam itu pada ketika anak-anak didik saya bersengkang mata menyelesaikan masalah loji kimia mereka, saya temankan dengan solat hajat dan doa yang panjang khusus untuk mereka..saya sebut nama mereka satu persatu…memohon agar Allah terangkan hati dan mudahkan semuanya. Sepanjang hari tersebut hampir setiap detik hati saya membisikkan doa yang sama.
Keesokan harinya, ketika menunggu kedatangan mereka, handphone saya berbunyi. Tertera nama Sharmila, ketua kumpulan mereka. Dengan nada girang dia memaklumkan yang mereka telah menemui jalan keluar. Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah kerana membantu anak didikku.
Kedua-dua kisah adalah kompilasi pengalaman bersama anak-anak didik saya. Pengalaman yang memberitahu saya bahawa disebalik semua kaedah mengajar dan mendidik, doa juga merupakan salah satu cara untuk seseorang guru membantu muridnya. Pada masa kita berputus asa untuk menegur mereka sekalipun, kita masih mampu mendoakan. Mungkin kita juga perlu belajar untuk menggantikan kemarahan itu dengan doa. Tidak rugi untuk kita memohon yang baik-baik untuk mereka. Wahai guru, masin mulut mu adalah antara senjata yang paling berharga jika dimanfaatkan, tetapi boleh jadi paling bahaya andai tersilap guna. Semoga kita sentiasa ingat yang mereka memerlukan doa kita.
Laskar Pelangi
Apabila menyebut tentang pendidikan, saya ingin berkongsi kisah ini dengan semua yang membaca.


Laskar Pelangi, coretan pengalaman yang diadun oleh Andrea Hirata dan kemudian diterjemahkan dalam bentuk filem. Kisah kehidupan Laskar Pelangi, sekumpulan kanak-kanak bersama dua orang guru mereka. Bagi saya ia berbaloi untuk ditonton. Bukunya berbaloi untuk dibaca. Tetapi secara peribadi, saya lebih memilih buku berbanding filemnya. Sangat sarat dengan mesej untuk warga pendidik, untuk para penuntut ilmu, juga untuk semua yang sedang mengejar impian.
Baca dan tontonlah dengan mata hati. Ia akan mengingatkan kita pada keajaiban sentuhan didikan ikhlas seorang guru. Semoga kita terus ikhlas mencurah ilmu pada ‘laskar pelangi’ kita. Akhir kalam, saya hadiahkan kata-kata Pak Harfan dalam filem dan buku ini ‘hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya’.
1 comments:
testing
Post a Comment