Suatu malam, dua bulan lepas ketika saya balik bercuti, bonda meminta saya mengeluarkan harta bersama kami iaitu kain pasang yang dijadikan ‘koleksi’ sejak tahun lepas. Saya membentangkan satu persatu, mudah untuk memilih. Seperti biasa, dia meminta saya memilih dahulu. Selalunya saya tanpa sedikit pun rasa bersalah akan menuruti permintaannya. Tetapi malam itu saya terfikir sesuatu….
Bila diingat-ingat, sejak saya dan bonda mula berkongsi, setiapkali memilih dia pasti akan mendahulukan saya. Daripada semurah-murah pakaian tidur, sehingga semahal-mahal kain pasang. Selepas saya memilih yang mana berkenan dihati, barulah dia akan membelek mana-mana yang tinggal. Jelas, kebahagiannya adalah menunaikan hajat saya.
Selalunya, walaupun saya memilih dahulu, saya tetap akan tinggalkan mana-mana yang pada pandangan saya menjadi pilihan bonda. Saya boleh melakukan ‘helah’ itu sekali lagi pada malam itu, tetapi saya bimbang saya tidak ada kesempatan lain untuk menzahirkan betapa saya sentiasa mahu mengutamakan dia. Lalu untuk malam itu, buat pertama kali saya meminta dia membuat pilihan mendahului saya..memenuhi kehendak hatinya, memenuhi hajatnya yang mungkin selama ini banyak dikorbankan demi saya, satu-satunya puteri bonda. Saya yakin andai pada ketika dia marahkan saya sekalipun, dia akan masih tetap bersedia berkorban untuk saya. Cinta bonda tidak mengenal sempadan dan syarat.
Itu hanya kisah ringkas, hanya secebis dari cerita kasih sayang seorang ibu yang sentiasa tidak jemu berkorban. Dari sebesar-besar pengorbanan bersusah payah mengandungkan kita, bertarung nyawa melahirkan kita, sehinggalah kepada perkara-perkara halus yang kadang-kadang kita tidak sedari.
Selamat Hari Ibu buat bonda. Semoga sentiasa dalam peliharaan Allah. Semoga kami dipimpin menjadi anak-anak yang membahagiakan bonda.
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung keletihan demi kekeletihan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”
[Surah Luqman 31: 14]
Ya Allah, kurniakanlah Syurga untuk ibuku, kurniakanlah Syurga untuk ibuku, kurniakanlah Syurga untuk ibuku ….sesungguhnya aku berhutang nyawa dengannya.
0 comments:
Post a Comment