? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, February 12, 2009

Anak-anak Kesayangan Saya


Anakanda Siti Nur Fatihah Binti Zainal (8 tahun). Dia memanggil saya ibu.


Anakanda Ahmad Azamuddin Bin Amirul (kini setahun ++). Dia memanggil saya Ela.



Anakanda Muhammad Bin Hafizal (Setahun++). Dia memanggil saya mama.


Dengan nama Allah, dengan penuh kasih sayang, dengan penuh kesyukuran, saya memperkenalkan anak-anak saya. Mereka bukan dilahirkan oleh saya, malah membesar bukan di depan mata saya, tetapi sentiasa kekal didalam doa. Saya belum sempat menulis entri istimewa untuk setiap mereka, Insyaalah satu hari nanti.



























Friday, February 6, 2009

Sebatang Pen dan Sebuah Impian

‘Nanti boleh belikan magic colour yang macam ni?’ tanya saya pada suatu hari ketika ayahanda menjemput saya balik dari rumah nenek.

Highlighter pen yang saya panggil magic colour itu beralih tangan. Agak lama ayahanda membeleknya, mungkin memikirkan jawapan yang sesuai untuk saya yang ketika itu hanya berusia 4 tahun.

‘Boleh, tapi kena masuk universiti dulu. Pen ni untuk orang yang belajar di universiti’ jawapan ayahanda. Saya angguk, sedikit pun tidak kecewa.

idaman hati saya...

Bagi saya yang sekecil itu, saya meyakini jawapan ayahanda, kerana memang pen itu milik Makcik Husna saya, mahasiswa UKM yang menghabiskan cuti semester dengan menjaga saya sepanjang siang. Saya mengembalikan semula pen yang saya puja dan kagumi kecerahan warnanya itu sambil berkata dalam hati yang belum masanya untuk saya memilikinya.


‘You-nee-ber-see-tee, u-ni-ver-si-ti, universiti,' saya menyebut. Ayahanda senyum. Saya ulangi perkataan baru dan canggih itu sehingga boleh menyebutnya dengan lancar dan tepat.


Tanpa diketahui sesiapa, saya menanam azam untuk masuk ke universiti, hanya untuk memiliki pen itu. Cita-cita itu sebati dengan jiwa dan imaginasi saya, sehingga pada hari pertama di Tadika pada usia 5 tahun, apabila Cikgu Rozita bertanya tentang cita-cita, saya dengan yakin dan bangga menyebut ‘Saya mahu masuk universiti’. Kawan-kawan terkebil-kebil, kerana saya menyebut perkataan yang sangat asing bagi anak-anak sebuah perkampungan yang masih ketinggalan. Walaupun tidak menerima sorakan berbanding dengan kawan-kawan yang menyebut mahu menjadi Gaban atau tukang kebun, saya tidak merasa sedikit pun tergugat kerana di hati saya hanya terbayang magic colour berwarna hijau terang.


Biarlah, mungkin mereka tidak pernah melihat magic colour istimewa itu, yang hanya akan dimiliki oleh orang yang belajar hingga ke universiti seperti Makcik Husna—itu kata hati saya. Impian saya jelas, universiti.

Imaginasi ke universiti berkembang mengikut usia saya.


Ketika berumur 6 tahun pada hari konvokesyen Tadika, ayahanda bertanya sama ada pakaian saya itu istimewa atau biasa. Saya mengatakan istimewa, kerana bukan setiap hari kita memakai jubah. Lalu ayahanda mengatakan yang saya akan memakai jubah sekali lagi pada hari konvokesyen universiti. Saya sudah ada dua alasan untuk masuk ke universiti.


Setiap kali menghantar Makcik Husna dan Pakcik Rosman kemudian Kak Hidayah ke lapangan terbang, ayahanda akan ingatkan saya yang saya juga akan berpeluang merasai pengalaman yang sama apabila belajar di universiti. Alasan saya untuk masuk ke universiti bertambah.


Bukan imaginasi itu sahaja yang berkembang, malah jalan kearah apa yang diimpikan itu juga ayahanda rencanakan, juga sesuai dengan perkembangan usia saya. Bermula dengan pesanan yang paling basic, iaitu ‘belajar bersungguh-sungguh’. Seawal umur 8 tahun, saya sudah dikenalkan dengan sekolah berasrama penuh, yang kata ayahanda saya ‘salur terbaik untuk saya masuk ke universiti’. Masin mulut ayahanda, kerana selepas lima tahun di sekolah yang dipilih atas persetujuan bersama itu, saya melangkah ke universiti. Masin mulut ayahanda, selepas hari pertama saya mendaftar diri di universiti, saya belum pernah meninggalkannya…dan mungkin akan terus berada di tempat perkembangan ilmu itu sehingga usia tidak mengizinkan untuk berkhidmat. Tanpa sedar, bulan Mei 2009 ini genap 11 tahun saya menjadi penghuni universiti dengan status yang berbeza. Saya hargai pengalaman itu.


Panjang kisah yang saya ceritakan, tetapi yang ingin disampaikan sebenarnya adalah kekuatan imaginasi. Bak kata Albert Einstein;


“Imagination is everything. It is the preview of life’s coming attractions,”
“Logic will get you from A to B. Imagination will take you everywhere”


Dr HM Tuah Iskandar juga banyak mengupas tentang kekuatan imaginasi yang saya tidak akan ulas di sini.


Ketika mengakhiri entri ini, saya terfikir, adakah saya yang sekarang ini masih ada imaginasi yang saya jelmakan sebagai cita-cita, yang perlu perancangan rapi untuk dicapai? Mudah-mudahan kita semua berimaginasi untuk menghuni Syurga Allah, dan bermujahadah untuk menjadikannya satu kenyataan. Amin.


Sepanjang menulis entri ini, wajah ayahanda kesayangan saya bermain di ruang ingatan. Kebetulan, saya baru membaca luahan rasa dua orang sahabat blogger yang baru kehilangan ayah. Mudah-mudahan mereka diberi kekuatan. Entri ini saya hadiahkan untuk ayahanda saya. Saya tidak mahu hanya mula menceritakan tentang betapa istimewanya dia di dalam hidup saya ketika saya tidak mampu lagi mendengar suaranya. Semoga Allah memanjangkan usia ayahanda, kerana saya tidak mampu membayangkan sesaat pun tanpa dia.