? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, January 22, 2009

Terus dan teruslah menulis...


Saya pernah bercita-cita menjadi seorang penulis, tetapi hanya sebagai cita-cita sampingan termasuk juga menjadi penari. Pakcik Man saya, adik ayahanda yang ke-8 seorang yang sangat berbakat dalam penulisan. Hasil tulisannya banyak tersiar di beberapa kolum dalam majalah terkenal. Sejak kecil saya mengagumi kebolehan itu. Setiap kali ke rumah nenek, saya akan curi-curi membelek hasil karya yang dia menghimpunkan dalam satu fail yang dihias cantik, berselang seli dengan lukisan potret yang juga hasil tangan beliau. Saya agak sehingga sekarang beliau tidak pernah menyedari yang saya adalah salah seorang peminatnya, dan saya pasti yang dia tidak pernah sedar yang minatnya terhadap penulisan itu saya warisi.

Seawal usia tujuh tahun, saya sudah mula menulis. ‘Karya’ pertama saya judulnya Ladybird, konon-kononnya sebuah puisi yang saya ingin jadikan lirik lagu. Banyak yang menyusul selepas itu, yang rasanya tidak perlu saya ulas. Saya bukan penulis terlatih. Hanya sebagai hobi, sebagai terapi minda….dan kadang-kadang sebagai hadiah untuk insan-insan terpilih.



Seperti dirancang-rancang , kerjaya yang saya pilih rupa-rupanya mewajibkan saya untuk menulis dan menerbitkan. Bezanya dengan apa yang saya buat sejak kecil, kali ini ia bersifat teknikal. Saya beruntung kerana saya telah didedahkan dengan penulisan seperti ini sejak tahun pertama pengajian sarjana saya. Pengalaman itu menjadikan saya tidak janggal untuk menjadikannya salah satu daripada tugas hakiki saya. Saya juga beruntung kerana memang meminati penulisan ini, jadi ia tidak membebankan walaupun kandungannya amat berbeza dengan apa yang biasa saya tulis selama ini.

Bidang penulisan teknikal tidak memerlukan kita untuk menerawang, tetapi sangat perlukan kepakaran dalam mengolah dan menyampaikan. Ilmu sahaja tidak cukup, hasil kajian yang boleh menggegarkan dunia juga tidak berguna, andaikata tidak mampu menterjemahkannya dalam bentuk tulisan untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia. Ia bukan mudah. Tanyalah para penyelidik yang baru merangkak seperti saya…..

Pesan saya untuk diri sendiri dan mereka yang kerjayanya berkait rapat dengan penulisan teknikal, jangan sekali-kali beranggapan bahawa ia beban yang tidak menguntungkan. Saya selalu ingatkan diri bahawa setiap patah yang saya tulis adalah ilmu. Jurnal mahupun buku yang kita tinggalkan adalah pelaburan yang kita boleh panjangkan ke akhirat sana.


Sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): Apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.


Mudah-mudahan setiap ilmu yang ikhlas kita kongsikan akan kekal menjadi rujukan, seperti mana kita merujuk hasil penemuan para ilmuwan yang telah ditulis berpuluh tahun sebelum kita dilahirkan. Ya Allah, tambahkanlah ilmu kami, lapangkanlah dada kami dan ikhlaskanlah hati kami.

Monday, January 12, 2009

Oh Guru I : Wahai Murid, Doakan Mereka

Saya teringat perbualan sekumpulan pelajar yang berkongsi penerbangan dengan saya hampir setahun sudah. Saya ketika itu dalam perjalanan untuk menghadiri satu persidangan di Kuala Lumpur. Cuti semester yang baru bermula membuatkan penerbangan kali itu seperti rombongan pelajar.


Sekumpulan mahasiswa yang beratur betul-betul di hadapan saya seronok berbual. Saya dapat menangkap satu-persatu perkataan. Mereka membincangkan tentang projek tahun akhir. Saya bayangkan mereka diselia oleh penyarah yang sama. Oleh kerana saya kenal individu yang mereka sebutkan, maka saya dapat meneka dengan tepat jurusan mahasiswa di hadapan saya itu.


Tanpa sedikit pun syak yang saya yang sedang mendengar merupakan salah seorang warga akademik di tempat mereka menuntut ilmu itu, mereka ghairah berkongsi dan meluahkan rungutan, kemudian beralih menjadi sumpahan.


Mahasiswa A : Bila lah dia nak mati...
Mahasiswa B : Ye lah, cepatlah mati orang tua tu
Mahasiswa C : Amin...


Tersirap darah saya mendengarnya. Mati? Mereka mendoakan agar guru mereka dipendekkan umur.


‘Woi!!! Kamu tau tak siapa yang kamu sumpah mati cepat? Dia cikgu yang memberi kamu ilmu. Boleh kamu senang-senang sumpah dia mati cepat. Tak berkat ilmu kamu. Kualat baru tau!’ saya berkata berdegar-degar, tapi malangnya cuma dalam hati.


Saya hanya beristigfar mendengar sumpahan ‘mati’ itu. Sepanjang perjalanan saya mendoakan agar guru yang memberi ilmu pada mereka diberi sebaik-baik balasan dunia dan akhirat, serta diselamatkan dari sumpahan buruk anak didik yang tidak sedar diri itu.


Saya bukan menyebelahi guru, atas sebab saya seorang guru. Saya tahu guru itu juga manusia biasa, yang banyak kekurangan dan kelemahan, penuh dengan perangai tersendiri. Saya juga pernah menjadi pelajar, dan saya juga pernah merungut malah mengumpat guru-guru saya (sekolah dan universiti)...tetapi tidak pernah terlintas mendoakan kecelakaan untuk mereka. Bagi saya itu kata-kata yang melampau.


Saya seorang guru, saya tahu ia bukan tugas yang semudah disangka. Mungkin guru di IPT tidak nampak beban tugasnya dalam konteks pengorbanan masa dan tenaga untuk pelajar...kerana mereka kelihatan hanya mengajar seperti yang diperuntukkan oleh jumlah jam kredit tanpa kelas tambahan tanpa bayaran (kecuali kes istimewa), dan mereka tidak menghadapi suasana genting bertungkus-lumus menyediakan pelajar untuk peperiksaan besar seperti yang dilalui oleh guru di sekolah. Tetapi percayalah...disebalik tabir, sebenarnya mereka banyak berkorban....sekeping slide yang ditayangkan dalam masa kurang dari lima minit di hadapan pelajar, kadang-kadang menuntut mereka menghabiskan lebih lima jam di luar kelas. Terutama untuk guru yang baru bertatih seperti saya...


Wahai anak muridku, seburuk-buruk seseorang guru, dia yang mendidik kamu, yang menjadikan kamu seperti sekarang, yang menyumbang paling kurang salah satu huruf daripada anugerah yang tertulis dalam sijil dan ijazah kamu...yang kemudiaannya kamu usung dan ‘jual’ ke sana ke mari untuk menjadi jaminan kesenangan hidup kamu. Doakanlah kesejahteraan mereka.

Nota: Kualat = ketulahan, kena tulah dan yang seerti