Di rumah, kami telah menetapkan peraturan untuk semua kucing yang berhijrah tadi. Mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah. Makanan akan diberi di beranda rumah…dan mereka masih beruntung kerana dibenarkan bersantai dan beradu di beranda itu juga. Yang melanggar peraturan akan dirotan (selingan: ayahanda telah bersusah payah mengeluarkan semula rotan special yang selalu menjadi habuan adik-adik saya semasa kecil. Opps, ayahanda bukan ayah yang garang, tetapi adik-adik saya memang terlalu nakal). Berbalik kepada kisah kucing. Peraturan merotan untuk kami dihadkan kepada lantai atau dinding rumah atau mana-mana sahaja bahagian asal tidak terkena ke badan kucing-kucing itu…sekadar untuk menggertak, bukan untuk menyakiti. Mungkin mereka tertekan dengan peraturan yang ketat itu, lalu mencari tempat lain untuk bersenang-senang. Tinggallah seekor kucing betina yang menjadikan rumah kami penginapan tetapnya. Saya agak, dia seekor kucing yang tabah kerana tahan dengan kami yang endah tak endah sahaja dengan kehadirannya.
Kucing betina itu cuba berkompromi dengan kami. Dia cuba mengikut peraturan walaupun kadang-kadang dia terlupa dan perlu mengangkat rotan untuk mengingatkan. Dia tidak pernah memanjat meja makan, apatah lagi mencuri makanan. Dia juga sentiasa mengambil hati kami dengan bermacam-macam cara…dia akan menyambut kami dengan girang setiap kali balik dan tidak pernah lupa menghantar kami sehingga ke kereta setiap kali keluar. Setiap tetamu yang datang ke rumah akan memuji kucing kami yang sopan santun itu. Saya akan memperkenalkannya sebagai ‘kucing angkat’ kami kepada semua tetamu yang bertanyakan asal-usul haiwan yang sebelum ini tidak pernah sekalipun nenek moyangnya berada di rumah kami.
Peliknya, antara kami berlima yang tinggal di rumah itu, dia paling rapat dan manja dengan saya. Saya kurang pasti apa yang mengakrabkan kami kerana saya cuma berada di rumah itu tidak lebih dari dua hari dalam seminggu. Seingat saya, tidak pernah sekalipun saya membelainya. Bila diteliti, mungkin kami rapat kerana kami berkongsi banyak aktiviti. Itupun sebab kami berdua selalu tinggal berdua sahaja di rumah apabila orang lain sibuk dengan hal masing-masing. Daripada hanya boleh berada di beranda rumah, saya mula membenarkan kucing itu menonton TV bersama saya dengan syarat dia hanya akan duduk atas di lantai sahaja. Dia berjaya mematuhi.
Kucing angkat saya itu ada juga nakalnya. Dia paling suka mengganggu ketika saya memasak. Dia akan paling sibuk mengekori saya ketika saya ke hulu ke hilir mengemas rumah. Dia cuma akan berhenti mengekori saya apabila saya juga duduk diam. Untuk membalas dendam, saya akan memastikan dia terganggu untuk aktiviti kegemarannya selain makan, iaitu tidur. Setiap kali ternampak dia tidur, saya akan mencuit-cuit badannya sehingga dia terjaga. Kalau saya ada di rumah, dia boleh tidur dengan selesa hanya pada masa saya juga sedang lena. Pendek kata, kami saling usik-mengusik dan dengki-mendengki.
Selepas sekian lama bersama kami, saya mula terfikir untuk memberinya nama. Selama ini kami hanya memanggilnya dengan nama ‘kucing’. Saya bercadang untuk tidak memberikannya nama tipikal kucing seperti tompok, hitam, comel, mimi dan sebagainya. Tanpa berfikir panjang, nama Nurain terlintas di fikiran saya. Ha, memang nama yang sedap. Rasanya agak pelik untuk seekor kucing dinamakan Nurain. Tak mengapa, saya memberinya nama itu kerana dia memang seekor kucing yang pelik, wajar diberi nama yang istimewa sedikit. Oh ya, sebelum ada sesiapa yang mengatakan ‘tak pelik pun’, saya ingin menjelaskan bahawa ‘pelik’ disini merujuk kepada sifat-sifat Nurain yang berbeza dengan persepsi saya yang selama ini hanya mengenali kucing dari pengalaman yang buruk belaka.
Dengan nama manja yang saya berikan itu, Nurain kelihatan gembira sekali. Mungkin dia merasakan yang dia telah mula diterima. Saya mula menjadikannya teman berbual sehinggalah pada suatu hari dia seolah-oleh tidak mahu mendengar lagi, malah tidak mahu memberi respon kepada usikan-usikan dengki saya lagi. Masih terbayang dimata saya Nurain yang lincah tiba-tiba tidak mampu bergerak lagi. Setakat manalah kudrat seekor kucing untuk menanggung kesakitan digilis tayar kereta. Ketika bonda memaklumkan berita buruk itu, saya yang pada petang itu tengah melipat pakaian tidak terus pergi melihatnya. Sebenarnya saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan, tetapi saya cukup pasti dengan perasaan saya ketika itu…tidak ada bezanya dengan apa yang saya pernah rasa sebelum ini setiap kali menerima berita pemergian orang-orang yang saya sayangi.
Nurain mungkin perlukan saya pada saat ini….saya berkata dalam hati. Dengan dada yang sebak, saya memberanikan diri mendekatinya yang belum dialihkan dari tempat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ketika itu hanya ada saya dan dia. Saya memberanikan diri memandangnya. Tidak ada setitik darahpun ditubuhnya, hanya sepasang mata galaknya itu yang tersembul keluar. Saya mencuitnya, sepertimana yang saya biasa lakukan untuk mengganggu lenanya…kali ini dia tidak bergerak langsung. Saya mencuba lagi, tetap sama. Saya mahu terus mencuba sambil berharap yang dia akan bertindakbalas seperti biasa, tetapi hampa. Akhirnya saya yang mengalah, akur kepada kenyataan yang dia tidak akan membalas sebarang usikan nakal saya lagi….dia tidak akan kembali lagi.
‘Nurain…’ saya memanggil namanya. Dengan harapan bahawa dia sedang mendengar, saya memohon maaf diatas kemalangan yang tidak disengajakan itu, juga untuk sebarang kekurangan dan kelemahan kami selama menjadi tuannya. Saya tidak lupa memberitahunya bahawa dia memang seekor kucing yang taat dan baik. Itu sahaja, selebihnya saya diam menahan sebak.
Saya masih mahu meneruskan perbualan akhir itu dengannya tetapi suara saya tersekat. Akhirnya, untuk pertama kali tangan saya menyentuh dan membelainya. Saya usap seluruh tubuhnya, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan seumur hidup saya. Sukar untuk saya percaya yang saya sedang membelai seekor kucing. Saya terus diam tanpa suara. Apabila saya menyedari yang masa untuk kami benar-benar berpisah telah tiba, saya letakkan tangan di atas kepalanya. Juga untuk pertama kali, saya katakan padanya yang saya menyayanginya dan akan sentiasa merinduinya. Kami berpisah pada ayat yang terakhir itu. Saya meninggalkan jasad Nurain dan hanya mengintai dari jauh ketika Nurain disempurnakan jasadnya.
Pada hari Nurain meninggalkan kami, saya menangis sepanjang malam. Tangisan itu bersambung-sambung setiap hari selama seminggu. Selama seminggu itu juga saya bermuhasabah, merenung hubungan saya dan Nurain. Lega hati saya kerana dalam setiap inci perhubungan kami yang saya teliti, tidak ada hak Nurain yang saya tidak tunaikan dengan sengaja. Maknanya, tidak ada tanggungjawab sebagai tuan yang saya abaikan dengan niat. Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah kerana menurunkan rasa tanggungjawab dalam hati saya, sehingga perasaan itu mendorong saya menjaga kebajikan haiwan yang saya pernah dendami.
Pemergian Nurain juga buat saya terfikir, alangkan baiknya kalau hubungan saya dengan semua orang sejernih hubungan saya dengan Nurain. Istilah jernih bagi saya disini mungkin lebih mudah dijelaskan dengan tidak saling berhutang, segala hak saya tunaikan…hak ayahanda dan bonda saya, hak adik beradik saya, hak keluarga saya, hak sahabat-sahabat saya, hak anak murid saya, hak sesama muslim dan banyak lagi yang ada disekeliling saya. Andai akrab saling memaafkan, andai tak rapat sekalipun saling tidak berdendam. Bila terjadi sesuatu yang tidak disangka, tidak akan ada penyesalan, seperti saya tidak menyesali apa-apa atas pemergian Nurain. Lebih penting daripada itu, tidak ada perkara yang dipanjangkan sehingga ke akhirat sehingga nanti saya muflis pahala lantaran terpaksa membayar hak-hak sesama makhluk yang saya tidak pelihara dan menebus salah silap yang tidak diampunkan. Untuk pembaca yang budiman, mohon ampun atas segala yang tak sempurna daripada saya.
************************************************************************************

